Pages

Thursday, December 29, 2011

2011 Siri 3

Jika siapa yang meminta cintamu, katakanlah ia untuk Allah,
Jika sesiapa yang meminta rindumu,katakalan ia hanya untuk rasululullah, jika sesiapa yang meinta ketaatanmu katakanlah ia untuk ayah dan bondamu,
dan siapa yang meminta keikhlasanmu, berilah pada yang tahu menghargainya...

Suatu ungkapan yang begitu terkesan di hati seorang hamba kepada Allah,seorang umat kepada kekasih Allah, nabi Muhammad s.a.w, seorang anak kepada kedua ibu bapanya dan seorang insan dan saudara kepada insan yang lain. Tajuk yang dirasakan agak menjengkelkan untuk ditulis tetapi rasanya perlu untuk dicatatkan dalam diarku ini.

Tahun 2011 rasanya tahun yang agak menguji keikhlasanku dalam menjadikan seseorang itu seorang sahabat atau lebih daripada itu. Sekadar peringatan buat diri sebenarnya, sekiranya belum benar-benar bersedia, jangan diduga ombak yang ganas , bimbang kita ditelan ombak dan tidak tahu di mana tempat kita akan terdampar dan apa yang lebih menakutkan seandainya terus hilang (mati) ditelan ombak.

TEMAN HIDUP

Soalan demi soalan ada kalanya diajukan secara peribadi baik dalam ahli keluarga sendiri ataupun sahabat-sahabat bila masa untuk diriku mencari calon untuk dijadikan teman dan membina sebuah masjid yang diharapkan penuh kebahagiaan. Lantas difikirkan ayat yang boleh dijadikan alasan untuk mengelak daripada menjawab persoalan-persoalan tersebut. Belum tiba masanya , kelayakan belum cukup dan tiada rezeki lagi serta banyak lagi jawapan yang sudah tersedia dalam ‘kocek seluar’ , dan akan digunakan sekiranya ada persoalan-persoalan demikian yang diajukan.

Terlalu mencari yang sempurna? Jangan disebabkan mengharapkan yang terlalu sempurna menyebabkan terlepas yang sedikit kurang sempurna. Tajam persoalan yang diberikan. Pendapatku ringkas. Tiada manusia biasa sempurna dan sekiranya kita mengharapkan yang sempurna kita hanyalah bermimpi sesuatu yang tidak akan berlaku. Sebaliknya, untuk mendapatakan seseorang yang diimpikan iaitu baik, cantik yang begitu subjektif ,diri ini terlebih dahulu perlu mengubah satu persatu kelemahan diri ke arah yang lebih baik sebagai suatu persediaan. Dan insyaAllah dengan doa yang tidak pernah putus, kita akan dapat kebaikan dan sedikit kesempurnaan yang kita impikan. InsyaAllah....

Dan bagiku, aku juga sering membayangkan orang yang sudah mendirikan rumah tangga perlu meninggalkan rumah kedua ibu bapanya, adik –beradiknya dan membina suatu hidup baru yang agak jauh mungkin daripada keluarganya. Itu suatu perkara yang aku sangat tidak menginginkannya walaupun ia pasti akan berlaku dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Dan mungkin faktor ini jualah yang menyebabkan aku sering berdalih seandainya diajukan persoalan-persoalan berkaitan topic teman hidup . Hakikatnya aku perlu menerima bahawa perkhawinan itu akan menyerikan lagi sesebuah keluarga yang sedia ada dan terbina.

Allah itu sentiasa ada dan pemurah untuk memakbulkan doa-doa kita. Topik yang sebenarnya kurang sesuai untuk ditulis tetapi biarkan sahaja aku mencatatnya . Mungkin menjadi suatu kenangan yang manis bila aku sudah mendirikan masjid kelak. Bila tiba masanya, moga-moga Allah memberikan petunjuk sebagai rahmat kepada hamba yang penuh kedhaifan dan kejahilan dalam membuat keputusannya yang penting ini.


Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(3:31)

Sunday, December 25, 2011

2011 Siri 2

2011 bakal tiba ke penghujungnya 5 hari sahaja lagi. Pengalaman melalui 360 hari setakat ini dalam tahun 2011 banyak yang menggembirakan dan tidak kurang pula yang kurang diminati dan disukai olehku. Yang menggembirakan aku harap akan terus berulang selagi tidak melanggar syara’ dan yang kurang menggembirakan juga dirasakan perlu kerana ia cara untukNya untuk letakkan kembalik aku di jalan yang sepaptutnya.InsyaAllah....

Semakin kita meningkat dewasa, banyak keputusan yang perlu kita buat dan kadangkala orang meminta kita untuk membantu mereka membuat keputusan. Perkataan yang sering kita dengar ketika sesuatu keputusan ingin dibuat kebiasaannya seperti matang, rasional dan professional dalam membuat keputusan. Kekhuatiran kadang-kadang terbit apabila banyak individu yang meminta supaya bertindak matang tanpa berlandaskan sesuatu yang hak di sisi agama kita, Quran dan Sunnah( Hadis) , serta ijtima’ ulama. Lantas timbullah beberapa isu seperti mempersendakan hukum Allah( khususnya Hudud) yang mengatakan banyak manusia akan cacat sekiranya dilaksanakan dan tidak adil kerana hanya dibuat untuk orang Islam sahaja. Itu sebagai contoh apabila individu mengambil atau membuat keputusan ikut logik akal. Bukan sengaja membangkitkan isu lama.

Sering kali juga aku menghadapi perbezaan pendapat tidak kira dalam apa jua faktor yang dibincangkan. Kadang-kadang dalam isu yang jelas berpihak kepada kita. Sebenarnya, bagiku untuk memastikan suatu keputusan dicapai, tidak boleh kita memaksa seseorang individu tersebut untuk menerima pendapat kita. Teruskan perbincangan demi perbincangan biarpun mengambil masa yang lama, tanpa lari daripada ‘bekalan makanan’ Allah kepada kita, Quran dan Sunnah, insyaAllah Allah mempermudahkan keputusan dicapai.

Ekstrim? Satu lagi perkataan yang sering juga kita dengari. Salahkah ekstrim? Salah!sambil membekalkan hadis Rasulullah hendaklah kamu bersederhana dalam membuat sesuatu pekerjaan. Tapi bagiku tiada salahnya selagi apa yang dinyatakan itu adalah berlandaskan apa yang ditetapkan Allah. Analoginya mudah, seorang berkata , menutup aurat itu sebenarnya tidak wajib( tidak kira lelaki ataupun perempuan) ( Diingatkan di sini mengatakan menutup aurat tidak wajib tidak sama hukumnya dengan seorang yang tidak mahu menutup aurat) lantas dibalas oleh seorang individu barangkali ustaz terkeluar daripada agama Islam orang yang mengatakan sedemikian. Timbullah tohmahan mengatakan ustaz itu terlalu ekstrim dan tidak patut mengucapkan sedemikian. Situasi kedua, apabila seorang murid menyatakan kehadiran ke sekolah itu tidak wajib, sebab di rumah pun mereka boleh belajar. Bayangkan bagaimana sekiranya seorang guru membiarkan dan tidak bersuara dan mengambil sebarang tindakan kepada murid tersebut . Bukan sahaja kegagalan yang dihadapi murid tersebut, bahkan apa yang paling menakutkan apabila ‘barah merebak ‘ apabila ada pula murid lain yang turut sama bersetuju dengan murid yang pertama tadi tanpa menyedari kegagalan yang akan menemui mereka. Begitulah perbandingannya dengan situasi yang pertma tadi. Sekiranya seorang ustaz tidak serius dan mengatakan apa yang hak, tunggulah tibanya saat umat yang dikatakan ibarat buih di lautan( lemah).

Seharusnya, perbezaan pendapat sangat perlu dalam diri kita. Apa yang penting, jangan kita letakkan keegooan diri untuk mencapai kata sepakat sebaliknya buatlah berdasarkan saranan agama dan dapatkan panduan orang yang lebih berpengalaman. Termenung apabila teringatkan suatu hadis dalam kuliah Ustaz Kazim Elias apabila Rasulullah s.a.w ‘Apabila terjadi perperangan di antara dua pihak dan kedua-duanya adalah Islam, gantungkan pedangmu di dinding rumahmu( simpan) dan duduklah dalam rumah ‘ menunjukkan Rasulullah sudah dapat mebayangkan banyaknya perbalahan yang akan timbul di akhir zaman umat baginda dan melarang sebarang perperangan berlaku di anatara umat Islam. WE LOVE NABI MUHAMMAD. Wallahua’lam

Saturday, December 24, 2011

2011 Siri 1





Hati terasa bersemangat untuk menulis setelah melelapkan mata 'seketika' di petang hari. Jari kini sudah boleh membilang cuma tinggal beberapa hari lagi untuk membuka tirai ke tahun 2012 dan meninggalkan 2011. Di sebalik kesyukuran yang tak terhingga buatNya, adatnya seorang manusia sentiasa tidak pernah berpuas hati dengan apa yang dia miliki.

Tahun 2011 banyak memberikan pengajaran yang cukup bermakna buatku yang masih terlalu mentah ini. Dengan kegusaran dalam hati untuk menjadi pemimpin kepada sebuah organisasi dakwah, Allah uji pula dengan kegagalan demi kegagalan. Kritikan yang diterima kalau mahu dikatakan tiada dan tidak memeritkan, itu satu penipuan nyata. Namun, bagiku Allah itu sentiasa ada untuk kita dan hanya menunggu doa kita untuk dimakbulkaNya. Ketika hati berada di puncak kebimbangan itu jugalah, doa ibu bapa yakni doa yang paling mustajab akan sentiasa ada untuk anaknya itu. Bagiku, ujian yang dikirimkan oleh Allah itu adalah untuk memberikan pengaajran yang cukup bermakna iaitu biarpun kita berada di atas dan setinggi manapun, Allah berhak menguji kita di atas kotor dan kerasnya hati untuk menerima dan menolak segala tuntutan dan tegahannya.

Pada masa yang sama juga, pengalaman menjadi pemimpin untuk sesebuah organisasi memerlukan suatu kesabaran yang cukup tinggi. Bukan arahan dan suruhan yang sentiasa kita zahirkan, sebaliknya kita mesti bergerak sama untuk melihat suatu kejayaan dalam suatu aktiviti yang direncanakan. Musuh yang paling utama adalah diri kita sendiri yang sentiasa menyalahkan sekeliling apabila berhadapan suatu kerumitan. Dakwah itu hakikatnya wajib atas setiap yang beragama Islam. Kalau ibu bapa meninggalkan dakwah, rosaklah seluruh ahli keluarganya. Sekiranya seorang rakan tidak menegur kesilapan rakannya, mereka pasti akan berada dalam golongan yang jahil. Dan sekiranya seorang pemimpin tidak berdakwah dan melaksanakan dakwah, pasti hancurlah sesebuah Negara itu biarpun terlalu agung sesebuah kerajaan itu.

Itu hakikat yang perlu kita sedari dan perlu diketahui juga, hak kesedaran dan keinsafan tidak dimiliki oleh manusia sebaliknya terletak di tangan Allah secara total. Kegusaran timbul apabila diri sendiri ataupun sahabat-sahabat ‘futur’ iaitu berputus asa di pertengahan jalan kerana merasakan ajakan mereka tidak dipedulikan dan kadang-kadang dipermainkan. Allah sentiasa mengadili hambaNya. Dan apa yang lebih penting untuk melihat diri kita sendiri tidak dibalikkan hati oleh Sang Pencipta.

Apabila hati berniat untuk mendekatkan diri dengan Allah, di saat itu kita perlu bersedia sebaik mungkin untuk diuji kerana Allah menjanjikan ujian itu untuk suatu proses tarbiah kepada kita selaku hamba. Penulisanku ini juga bukanlah boleh diterima secara keseluruhannya , tetapi ia berdasarkan apa yang dialami sepanjang 22 tahun hidup di muka bumi Allah ini khususnya tahun 2011 yang cukup mematangkan diri ini.

Friday, December 23, 2011

Perkembangan diri


Alhamdulillah, sudah boleh/layak mengundi/memlilih calon/mencari calon ISTERI....;)


Allah masih izinkan untuk terus 'bermaharajalela' di kolej kediaman untuk final year pengajianku di IPG Teknik. TQ ALLAH=)

Khatijah



Alhamdulillah 2 minggu lepas, ibu saudaraku yang lebih dikenali dengan panggilan Makcik Da telah selamat melahirkan seorang anak perempuan di HUSM, Kubang Kerian. Hari ini pula, 23 Disember 2011 adalah tarikh bercukur baginya.

Nama yang diberikan cukup indah iaitu Khadijah oleh bapa saudaraku, Ayah Ran. Diusung mengelilingi orang yang sedang berselawat dan kedengaran suara jelas alunan selawat yang begitu mengasyikkan biarpun tanpa sebarang alat-alat muzik yang mengiringinya.

Sesekali aku melihat sepupuku ini tersenyum sendirian seolah-olah mengerti bahawa setiap orang sedang mendoakannya untuk menjadi seorang anak yang solehah dan meniru keperibadian terpuji Saidatina Khatijah , kekasih dan isteri Nabi Muhammad s.a.w....=)


Thursday, December 22, 2011

Manisnya kejayaan

Awal kalam dimulakan dengan pujian yang selayaknya untuk Allah Tuhan yang memiliki alam yang serba indah ini. Syukur tidak terhingga masih diberikan peluang olehNya untuk bersama keluarga dan diberikan peluang untuk sentiasa muhasabah diri dengan kesilapan-kesilapan sebagai seorang yang berstatus hamba. Sudah tiga minggu agaknya tidak menceriakan blog kesayangan diri saya ini yang telah dihasilkan hampir-hampir empat tahun yang lalu.
Hati ibarat berada dalam mesin pengisar ibuku di dapur pada hari ini kerana dimaklumkan keputusan peperiksaanku akan diketahui pada hari ini. Tunggu punya tunggu, tiada tanda-tanda untuk boleh disemak hari ini ataupun esok biarpun pada awalnya dijanjikan 20hb Disember 2011 oleh Unit Peperiksaan IPG.Mungkin ada masalah agaknya memandangkan ini kali pertama sistem atas talian untuk menyemak keputusan-husnu zhon):)
Lupakan tentang keputusanku kerana hati berasa sangat bersyukur, sekali lagi Allah tidak pernah putus untuk memberikan rezeki kepada keluargaku..Alhamdulillah atas keputusan yang diterima oleh satu-satunya adik perempuanku dalam PMR. Mungkin tersangat sedih katanya kerana dalam kelasnya dialah satu-satunya pelajar yang tidak mendapat A bahasa Arab daripada 14 orang calon, lantas keputusan diterima dengan linangan air mata bersama ibuku=)... (Tidak mengapa kerana bagiku air mata itu banyak mengajar kita untuk tidak mengenal erti putus asa) .
Walau bagaimanapun , seorang abang sangat gembira kesyukuran melihat keputusan adiknya.Tahniah untuk adikku9(cik Siti), kawan-kawannya, sepupunya yang juga sepupuku, adik-adik kawanku, serta adik-adik Halaqah Ilmu 2011. Moga Allah terus kurniakan kekuatan untuk kalian terus menuntut ilmu dan cemerlang di masa akan datang dan akhirat kelak.Kita umat Islam yang dijanjikan sebaik-baik umat. Buktikannya....=)

Friday, November 25, 2011

Bekalan hari esok.


Demi Allah yang Maha Mengasihi hambaNya.
Setiap langkah yang diambil biarlah bersandar kepada redha Allah s.w.t
dan restu kedua ibu bapa kita....Moga langkah yang diambil tidak dipalit
godaan kedurjanaan syaitan laknatullah....

Kaki melangkah dengan penuh kesyukuran...=)

Daripada: Mujahid_didiey

Thursday, November 3, 2011

ILMU

Kesyukuran dilafazkan dengan ucapan 'ALHAMDULILLAH' kerana sudah pun tiba di rumah dan akan bercuti selama beberapa hari. Syukur jua yang tak terhingga kerana dapat bersama-sama keluarga untuk sama-sama menyambut kedatangan peringatan hari pengorbanan Nabi Ismail oleh ayahandanya, Nabi Ibrahim( dengan izinMu ).

Diari ringkasku pada kali ini akan mencatat mengenai cara dan kaedah kita untuk menyelesaikan setiap apa yang berlaku dalam kehidupan seharian. Dan pada diriku yang masih cetek ilmu ini, kaedah dan cara itulah sebenarnya ilmu yang ada dalam diri kita pada ketika dan saat ini. Sabda Rasulullah: Menuntut ilmu itu adalah WAJIB bagi setiap orang yang beragama Islam.

Bagaimana kita tahu, ilmu yang berharga itu tidak dapat diperolehi dengan cara yang mudah. Lihat sahajalah imam mazhab kita, Imam Syafi'i merantau jauh berpisah daripada ibunya walaupun masih di usia 7 tahun sudah merantau ke luar negara untuk mencari ilmu.

Lihat pula pada Imam Ahmad b Hanbal.Seseorang pernah berkata kepadanya: “Sampai bilakah engkau hendak menuntut ilmu? Padahal engkau sudah mencapai darjat paling tinggi dan engkau telah menjadi imam bagi seluruh umat Islam? Imam Ibnu Hanbal menjawab: “Aku menuntut ilmu dari hujung dunia hingga ke pintu kubur.”

Pada masa yang sama, Allah janjikan kepada hambaNya yang memiliki ilmu itu peningkatan darjat disisi Allah. dan padaku, seseorang yang arif tentang sebarang ilmu terutamanya ilmu berkaitan agama, mesti amanah dengan dirinya sendiri dan orang lain. Seseorang yang menjawab sesuatu persoalan agama yang diajukan kepadanya walaupun sebenarnya dia tidak tahu mengetahui perkara tersebut, akan dilaknat oleh Allah biarpun jawapan yang diberikannya adalah betul. Begitu tinggi nilai sesuatu ilmu disisi Allah.

Sekadar itu sahaja, Perjuangan menuntut ilmu tidak seharusnya berhenti untuk diri ini dan insyaALLAH ke hujung nyawa dan moga2 Allah tidak mematikan terlalu awal golongan ulama muktabar sekaligus memberi petanda bahawa dunia hampir menuju kiamat....=)

Wednesday, November 2, 2011

janji Allah itu pasti=)

Alhamdulillah.Allah masih memberikan kesempatan kepada diriku untuk terus
bernafas, beribadat dan masih memberi peluang untuk hambaNYA ini melaksanakan amanah-amanah yang masih banyak belum diselesaikan sebagai seorang hamba, anak, sahabat, jiran dan banyak lagi.

Apapun, sebagai seorang hamba ini seharusnya meneruskan tekad dan iltizam di hati untuk terus setiap kesilapan yang pernah kita lakukan. Usah terlampau membandingkan diri dengan orang lain, sebaliknya lakukanlah perubahan itu dengan niat yang lahir daripada hati sendiri tanpa ada rasa ingin menunjuk-nunjuk kepada insan lain.

Allah itu maha mengetahui dan maha adil. Surat cinta(Al-Quran) daripada Allah sering mengingatkan bahawa jangan kita menyukai, menyayangi, mengasihi sesuatu dengan terlebih-lebih, barangkali sesuatu itu adalah tidak baik untuk kita. Sebagai seorang hamba, mulakan melakukan yang terbaik bermula daripada diri kita sendiri dan insyaAllah Allah mengurniakan yang terbaik dalam setiap apapun yang kita inginkan.

Kuliah daripada seorang ustaz menceritakan bagaimana nabi Allah, Musa a.s dihanyutkan ke dalam Sg Nil yang begitu besar dan deras arusnya oleh ibunya. Hati ibu mana yang sanggup menhanyutkan anaknya seolah-olah membunuh anak sendiri. Tetapi disebabkan menerima arahan daripada Allah dan yakin tentang kekuasaanNya, dia dengan berat hati menhanyutkan Nabi Musa. Tidak lama kemudian, pihak istana Firaun memanggilnya untuk menjadi ibu susuan tanpa mengetaui itulah ibu Nabi Msua yang sebenar.

ke tahap itulah keyakinan kita kepadaNya yang sentiasa ada bersama kita. Wallahu'allam

Friday, October 21, 2011

AK 5292

Dengan nama Allah yang amat dikasihi dan dirindui selalu...

Dukacita dimaklumkan pesawat AK 5292 tidak sampai seperti yang dijangkakan
dan ditangguhkan ke jam 6.30 petang. Menggaru kepala aku mendengar anouncement tersebut kerana mengetahui ibuku agak lama menunggu di Airport PC...Tidak tahu sebab apa ditangguhkan mungkin cuaca yang agak menakutkan sekarang..

Namun, hati tetap riang gembira kerana ingin menjejakkan kaki ke kampung halaman....
Alhamdulilllah, terasa diri sangat lega setelah selesai menjalankan tugas sebagai orang yang diamanahkan untuk memimpin sesuatu organisasi. Secara jujurnya, terasa sungguh bimbang
kerana memikirkan soal tanggungjawab dan amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah yang Maha Adil kelak. Mungkinkah kelantangan mulut ini bercakap hari ini akan lantang jua apabila disoal suatu hari kelak.....Kegusaran itu hanya mampu aku kurangkan dengan beberapa cara tersendiri dan rasanya tak perlu aku zahirkan di sini...

Sekian, pengumuman demi penguman didengar dan nampaknya tidak tiba lagi giliranku. Ya Allah selamatkan perjalananku ini dan ampunilah segala dosa hambaMu yang dhaif ini...=)

Sunday, October 9, 2011

Allah sebaik-baik penjaga

Moga Allah menjagamu sebaik-baiknya dan tidak menjadikan hambanya ini
PEROSAK kepada kesederhanaanmu...=)

Thursday, September 15, 2011

Allah itu Pengasih


Diamanahkan untuk menghantar abangku esok ke KLIA....
Hati kian duka di kala saat perpisahan itu kian tiba.....
Selamat Meneruskan Perjuangan
biarpun setajam manapun ujian yang menunggu .....=)
Allah sentiasa bersama hambaNya yang bersabar....

Sunday, September 11, 2011

RUJUKAN AGAMA

Baru mengetahui diri tidak mempunyai kelas hari ini setelah sejam lebih
berada dalam dewan mendengar wacana ilmiah...Banyak perkara yang dipersetujui dan tidak kurang ada sedikit juga yang kurang dipersetujui.

Dalam satu tayangan slide, dalam slide yang presentation yang ditayangkan, slide pertama menunjukkan berkopiah ada satu etika pemakaian yang salah dan tidak sesuai. Timbul seribu persoalan dalam diri, kenapa peraturan tersebut boleh dinyatakan??!Siapa kita untuk mengatakan sesuatu perkara yang tidak diharamkan oleh Allah bahkan sunnah Rasulullah itu salah dan tidak sesuai?! Mungkin diri ini sangat dhaif ilmu, tapi janganlah kita terlalu mudah menerima sahaja suatu 'pembersihan identiti' Islam yang dilakukan barat. Jangan menjadi golongan yang dikatakan Rasulullah s.a.w yang menyatakan umatnya di akhir zaman ibarat buih-buih di lautan yang terlalu banyak tetapi terlalu mudah untuk diperbodohkan.Sebaliknya, pakaian seperti kemeja, tie, bowtie yang diasaskan oleh golongan 'profesional' itu pula yang tampak kemas.

Sejak akhir-akhir ini, diri terlalu banyak terdedah dengan kenyataan-kenyataan yang bukan merujuk panduan agama sebaliknya sekadar untuk melepaskan diri sendiri. Biarlah Allah menjadi saksi bahawa diri ini tidak pernah bersetuju dengan sebenar-benarnya kenyataan yang membelakangi agama tetapi diutarakan atas pendapat diri sendiri dan untuk membetulkan diri sendiri. dan moga2 Allah menjaga hati yang selalu lalai ini untuk berjuang menegakkan agamaNYA.....

Firman Allah: Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). (As-Saff 61:8)

Monday, September 5, 2011

kalau dulu aku.....


Buat insan yang amat aku sayangi......

Terima kasih atas segala pengorbanan yang dilakukan untuk memberi erti kepadaku bahawa aku adalah seorang insan yang dipilih olehNYA untuk menjadi seorang hamba di muka bumi....

Jika dulu aku terasa bingit dengan jeritannya mengejutku Subuh,
Jika dulu aku terasa rimas dengan leteran demi leteran menyuruhku mempelajari Al-Quran,
Jika dulu aku terasa pedih mendengarkan suaranya memarahiku dek kenakalanku,
Jika dulu aku terasa malu dengan caranya yang agak mengongkong,
Jika dulu aku terasa terkilan dek satu demi satu permintaanku ditolaknya,
Jika dulu aku terasa kurang selesa apabila dilarangnya untuk tidak keluar malam,
Jika dulu aku adalah seorang anak yang sering memberontak,

KINI, anakmu mula mengerti onak duri kehidupan.....
Rupanya, terlalu banyak ranjau kehidupan yang belum aku lalui
dan mengharapkan tunjuk ajar darimu ibuku
Teguran, larangan, tegahan yang diberikannya adalah untuk menjaga aku
daripada tersasar jauh daripada matlamat kehidupan sebagai seorang hamba....

BUAT INSAN YANG PALING AKU KASIHI DAN SAYANGI,
SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KELAHIRAN
ANAKMU AKAN SENTIASA MENDOAKAN MOGA2 ALLAH
MENGURNIAKAN SEGALA KEBAIKAN DAN HASANAH KEPADA IBUKU
DAN DIKURNIAKAN KEKUATAN UNTUK TERUS MENJAGA ANAK-ANAKNYA YANG LAIN.
TERIMA KASIH UNTUK SEGALANYA

-taqiyuddin@didiey@abang cik-IPG KAMPUS TEKNIK, KL

Friday, September 2, 2011

Hidup Atas Kenangan,,,,,

'Cik, bangun....papa nak gi ke kubor', suara ibuku mengejutkanku supaya menunaikan
solat Suboh....lumrah manusia sangat berat untuk bangun, mengambil wudhuk dan menunaikan
solat Suboh.sama jua sepertiku..Dalam hati, terasa sangat berat untuk pergi ke kubor disebabkan diri yang sangat mengantuk. Mungkin disebabkan mata yang melelapkan mata pukul 3.30 pagi semalam.Perasaan liat dan malas itu aku hapuskan dan memandu kereta ke Tanah Perkuboran Islam, Beris Kubor Besar bersama 7 adik-beradikku yang lain.....

'cik, baca yasin...'suara itu menghilangkan rasa mengantok sedikit.....Aku diamanahkan untuk mengetua bacaan yasin oleh ayahku...Di pertengahan surah yang dikatakan hati Al-Quran itu, tetiba hati ini berasa begitu sayu mengingatkan moyangku. Segala kenangan bersama moyangku itu tetiba ibarat dikisar dalam kepalaku. Ketika di waktu kanak-kanak aku letih bermain di dalam halaman rumahnya, lantas aku memasuki kedai runcit usangnya dan meminta sebatang ais krim....Dipegangnya tangan kecilku dan disuruhnya aku mengaji al-quran terlebih dahulu. Dengan perasaan yang penuh malas, aku memegang al-quran yang sudah tidak berkulit itu, dan membacanya dengan laju. Teguran demi teguran dilakukannya untuk kepadaku untuk memastikan bacaanku dibaca dengan tajwid yang betul.....

Moga2 bacaanku tadi diterima Allah sebagai sedekah jariah kepada moyangku yang telah dijemput oleh Ilahi.Dan moga2 moyangku tahu bahawa kini aku sudah boleh mengaji dengan tidak tergagap-gagap seperti dulu biarpun masih banyak kesalahan tajwid dan aku sangat merindui untuk diajar mengaji olehnya seperti suatu ketika dahulu.........

Terkadang kenangan silam yang mebuatkan kita memikirkan perjuangan kita di muka bumi Allah ini bukanlah suatu perjuangan yang remeh sebaliknya memerlukan suatu pengorbanan yang cukup besar.....


Wednesday, August 31, 2011

Buat sahabat seperjuangan yang sedang..............=)

"... Dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan." - (Surah Ali-Imran : 148)

Duhai insan,
Jiwamu terasa kosong?
Perlu peneman,
Kekasih hati yang prihatin,
Pengisi jiwa ragamu itu.
Tapi tahukah kamu,
Cinta yang kamu dambakan itu menyakitkan.
Sering pula ia mengecewakan,
Selagi dia belum halal untukmu,
Selagi itu ia menyeksakan jiwamu.
Kamu dan dia belum ada ikatan,
Itu hakikat!
Meletakkan harapan...
Hanya bakal mengundang kekecewaan demi kekecewaan,
Kerana semuanya, masih tiada kepastian.

Hatimu kosong?
Isikanlah hatimu itu,
Jangan biar kekosongan menyelubung dirimu,
Berimanlah.
Yakinilah.
Bahawa Dia itu sentiasa dekat,
Amat-amat dekat,
Amat amat amat dekat.

Dia tahu kamu sedang berduka,
Dia Maha Tahu betapa berat ujian yang menimpa,
Dia mendengar segala rintih jiwamu itu,
Dirimu itu milik-Nya,
Dan pada-Nya jua ada pengubat jiwamu yang lara.

Isi hatimu...
Dengan cinta-Nya,
Syukurmu atas nikmat-nikmat yang kamu peroleh tidak terhitung jumlahnya.
Pengharapan yang kamu gantung hanya pada-Nya.
Sungguh,
Ia dapat menenangkan jiwa,
Setenang-tenangnya.

Bertawakkallah kepada-Nya
Yakinlah,
Dia punyai aturan untukmu,
Dan pastinya ia yang terbaik!
Sedang manusia itu hanya mampu bersangka-sangka...

Duhai insan,
Isi hati kecilmu itu...
Kerana sesungguhnya Dia sentiasa ada...!



- Artikel iluvislam.com

Monday, August 29, 2011

Sehingga Berjumpa Lagi....

Segala puji bagi Allah Tuhan Yang Memiliki Alam Semesta....
Alhamdulillah...Sudah melewati hari terakhir ramadahan...Jika diamati secara kasar,
terasa seperti baru seminggu berpuasa.Bertapa pantas masa berlalu, Firman Allah :

Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga2 kamu bertaqwa.

Persoalan taqwa mula menusuk di setiap kotak pemikiranku. Allah menentukan yang terbaik. Kalaulah ada neraca taqwa, pasti ada yang terlampau gembira apabila melihat jisim ketaqwaannya bertambah dan pasti ada yang sedih sekiranya ketaqwaannya berkurang. Walau bagaimanapun , keyakinanku tetap satu. Biarpun ketaqwaan kita tidak bertambah di bulan ramadhan, Allah itu maha adil . kita tetap mempunyai peluang untuk terus berusaha untuk meningkatkan tahap ketaqwaan kita padaNya sepanjang masa.

Ramadhan , sekali-kali aku tidak akan mengucapkan selamat tinggal kepadamu, tetapi akan kukatakan sehingga kita berjumpa lagi di tahun hadapan dengan izin Allah....=)

Salam Aidilfitri dan maafkan kedhaifan diri hamba Allah ini.....

Sunday, August 28, 2011

Wahai Pemuda Di Mana Singamu

Dalam satu kisah yang mashur, ketika Fatimah Binti Muhammad SAW berkata kepada Ali Bin Abi Talib RA setelah mereka menikah dengan nada yang penuh mesra; "Wahai Ali, maafkanlah aku. Kerana sebelum menikah dengan mu aku pernah jatuh cinta dengan seorang pemuda".

Tanya Ali; "Terus kamu menyesal menikah denganku?".

"Tidak", jawab Fatimah.

"Kalau begitu kenapa engkau menikah denganku? Dan siapakah pemuda tersebut?", tanya Ali bin Abi Talib lagi.

"Ya, kerana pemuda tersebut adalah dirimu", jawab Fatimah Az Zahroh.


KELUARKAN SINGA DARIPADA DIRI ANDA

Cerita di atas saya sertakan bukanlah dalil yang menunjukkan halalnya cinta di luar syarie sebelum menikah, apatah lagi gejala couple yang ternyata menghampiri kepada zina. Namun cerita diatas menunjukkan tidak perlunya melafaskan cinta sebelum nikah.

Saya memetik petikan Prof. Dr. Yusof al Qardhawi dalam kitab kecilnya "Kewajipan Pemuda Muslim Hari Ini (واجب الشباب المسلم اليوم)". Beliau menyifatkan jiwa pemuda sebagai matahari yang memancar terik di tengah hari. Cahaya yang terik itulah seumpama semangat yang dipunyai oleh golongan pemuda yang begitu berkobar-kobar dan hebat sekali.

Kata-kata syekh tersebut saya contohkan seperti singa. Singa di waktu remaja adalah yang terhebat sepanjang umurnya. Menjadi jaguh di hutan mahupun di padang rumput. Berbanding ketika kecilnya yang masih memerlukan tunjuk ajar ibu singa dan di waktu tua yang hanya duduk menanti ajal dan memakan bekas-bekas suapan singa remaja.

Saturday, August 27, 2011

kisah tentang emak....

Sedikit bingkisan mengenai kisah MAK yang kadang2 kita terlepas pandang. Check di mana MAK dalam hati kita sekarang. Adakah masih sama seperti mana kita masih kecil?

***************

"Mana Mak?'

Jam 6.30 petang.

Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.

Ayah baru balik dari sawah.

Ayah tanya Mak, “Along mana?’

Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”

Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”

Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”

Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”

Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”

Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”

Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian

Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”

Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”

Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”

Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.

Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"

Ateh menjawab, “Entah.”

Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”

Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”

Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"

Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .

Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.

Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."

Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”

Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.

Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian

Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak

?" "

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa perasaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?