Pages

Saturday, December 24, 2011

2011 Siri 1





Hati terasa bersemangat untuk menulis setelah melelapkan mata 'seketika' di petang hari. Jari kini sudah boleh membilang cuma tinggal beberapa hari lagi untuk membuka tirai ke tahun 2012 dan meninggalkan 2011. Di sebalik kesyukuran yang tak terhingga buatNya, adatnya seorang manusia sentiasa tidak pernah berpuas hati dengan apa yang dia miliki.

Tahun 2011 banyak memberikan pengajaran yang cukup bermakna buatku yang masih terlalu mentah ini. Dengan kegusaran dalam hati untuk menjadi pemimpin kepada sebuah organisasi dakwah, Allah uji pula dengan kegagalan demi kegagalan. Kritikan yang diterima kalau mahu dikatakan tiada dan tidak memeritkan, itu satu penipuan nyata. Namun, bagiku Allah itu sentiasa ada untuk kita dan hanya menunggu doa kita untuk dimakbulkaNya. Ketika hati berada di puncak kebimbangan itu jugalah, doa ibu bapa yakni doa yang paling mustajab akan sentiasa ada untuk anaknya itu. Bagiku, ujian yang dikirimkan oleh Allah itu adalah untuk memberikan pengaajran yang cukup bermakna iaitu biarpun kita berada di atas dan setinggi manapun, Allah berhak menguji kita di atas kotor dan kerasnya hati untuk menerima dan menolak segala tuntutan dan tegahannya.

Pada masa yang sama juga, pengalaman menjadi pemimpin untuk sesebuah organisasi memerlukan suatu kesabaran yang cukup tinggi. Bukan arahan dan suruhan yang sentiasa kita zahirkan, sebaliknya kita mesti bergerak sama untuk melihat suatu kejayaan dalam suatu aktiviti yang direncanakan. Musuh yang paling utama adalah diri kita sendiri yang sentiasa menyalahkan sekeliling apabila berhadapan suatu kerumitan. Dakwah itu hakikatnya wajib atas setiap yang beragama Islam. Kalau ibu bapa meninggalkan dakwah, rosaklah seluruh ahli keluarganya. Sekiranya seorang rakan tidak menegur kesilapan rakannya, mereka pasti akan berada dalam golongan yang jahil. Dan sekiranya seorang pemimpin tidak berdakwah dan melaksanakan dakwah, pasti hancurlah sesebuah Negara itu biarpun terlalu agung sesebuah kerajaan itu.

Itu hakikat yang perlu kita sedari dan perlu diketahui juga, hak kesedaran dan keinsafan tidak dimiliki oleh manusia sebaliknya terletak di tangan Allah secara total. Kegusaran timbul apabila diri sendiri ataupun sahabat-sahabat ‘futur’ iaitu berputus asa di pertengahan jalan kerana merasakan ajakan mereka tidak dipedulikan dan kadang-kadang dipermainkan. Allah sentiasa mengadili hambaNya. Dan apa yang lebih penting untuk melihat diri kita sendiri tidak dibalikkan hati oleh Sang Pencipta.

Apabila hati berniat untuk mendekatkan diri dengan Allah, di saat itu kita perlu bersedia sebaik mungkin untuk diuji kerana Allah menjanjikan ujian itu untuk suatu proses tarbiah kepada kita selaku hamba. Penulisanku ini juga bukanlah boleh diterima secara keseluruhannya , tetapi ia berdasarkan apa yang dialami sepanjang 22 tahun hidup di muka bumi Allah ini khususnya tahun 2011 yang cukup mematangkan diri ini.

0 comments: