Tuesday, February 10, 2015
Wednesday, November 12, 2014
Perkhemahan Pengakap 2014.
PEK siap sedia menerima arahan daripada Tuan Edwin Anak Ambik
Senaman pagi dikendalikan Tuan Esop Aanak Rabar (PK Kokurikulum)
Pengakap Meluan, Sedia Membantu
Taklimat Aktiviti oleh Kem Komanden, Tuan Taqiyuddin b Ahmad Fikri..Hehe
Perkhemahan Pengakap peringkat SK Nanga Meluan, Kapit.4 Nov hingga 6 Nov2014. Alhamdulillah, diamanahkan sebagai Kem Komanden untuk pekhemahan pada kali ini dan segalanya berjalan lancar. Masih banyak aktiviti yang boleh dimasukkan untuk menambahkan ilmu serta pengetahuan luar murid-murid di sekolah kesayanganku ini. Apapun, pengalaman pertama mengendalikan perkhemahan ini sangat menghiburkan....sengoti!
Persediaan 2015
Tuesday, November 11, 2014
Keceriaan Seorang Guru
Mereka bertengkar, mereka ketawa riang, mereka menangis, mereka berlari bersama untuk meneruskan kehidupan mereka di zaman persekolahan yang sangat menggembirakan.
Majlis Perasmian Minggu Sains dan Matematik ( SMAT) SK Nanga Meluan, Kapit.=)
Friday, September 13, 2013
Dari SK Nanga Meluan , Kapit
| Perhimpunan Mingguan di SK Nanga Meluan, Kapit |
Friday, September 6, 2013
Its All About Mentality
Matlamat dan misi yang jelas untuk melihat rakyat Malaysia menjadi sebagai rakyat yang cemerlang bukan sahaja daripada aspek akademik bahkan dari sudut sahsiah yang jauh lebih penting daripada itu. Namun, sedar ataupun tidak, pihak pelaksana(yang saya khuatiri bukan dari individu yang berlatarbelakangkan pendidikan) semakin hari seolah-olah menghumban guru-guru ke dalam suatu kesukaran yang dicipta mereka sendiri. Masakan tidak, target dan matlamatnya untuk murid-murid menggunung tinggi, namun hak guru terus dinafikan, ditarik dalam usaha mendidik murid-murid mereka supaya layak dan betul-betul menjadi manusia. Pekelililing demi pekeliling dikeluarkan seolah-olah mengugut guru supaya tidak sedikit pun menyentuh, mendenda dan menghukum murid biarpun mereka melakukan kesalahan terutamanya kesalahan disiplin.
UPSR SK Nanga Meluan
Saturday, August 3, 2013
Allah dan Mereka Sentiasa Ada....
Tahun 2013 dengan penuh coretan yang yang penuh tanda tanya terutamanya dalam bidang pekerjaan yang aku ceburi , GURU. Pada Oktober 2013, aku diberitahu oleh pihak SPP yang guru pelatih ambilan Januari 2009 akan melalui suatu fasa baru dalam pelantikan sebagai seorang guru dan proses penempatan tidak akan dijalankan seperti biasa. Hatiku mula berdegup kencang apabila ada yang mengatakan posting kemungkinan akan tertangguh sehingga Mac 2013. Takdir Allah menjadi suatu ketetapan yang tidak ada sesiapa yang boleh mengubahnya mentakdirkan bukan sehingga Mac bahkan aku untuk terus menganggur sehingga Julai 2013.
Cuma ada sesuatu yang aku perolehi sepanjang hampir 7 bulan berada di rumah tanpa sebarang pekerjaan. Ibu bapaku tidak pernah mengecewakan, seriously. Dan secara jujurnya aku tidak pernah merasa 7 bulan di rumah itu suatu tempoh yang begitu lama. Mungkin sikap neutral yang ditunjukkan oleh kedua ibu bapaku supaya aku tidak terlalu stres dengan kelewatan posting pada kali ini.Mereka sentiasa positif. Apabila diberitahu sahaja kepada ayahku yang aku mempunyai simpanan duit sedikit dan mahu dibeli seekor lembu sebagai binatang peliharaan, terus ayahku membawa pulang seekor lembu hitam putih yang dinamakan 'Tapong'. Aku berfikiran sedemikian supaya sedikit simpanan duit itu tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk membeli barang-barang yang tidak sepatutnya dan mungkin menjadi bekalan yang berguna apabila dipostingkan kelak. Setiap petang aku tidak lagi terasa kosong kerana hampir sejam diperlukan untuk menyediakan juadah rumput untuk Tapong dan lembu ayahku juga.
Ya, mereka tidak sesekali mengecewakan. Ada sahaja harapan dan tanggungjawab baru yang diajarkan dan diharapkan kepadaku. Pembayaran bil online, membantu adik Apih menyiapkan kerja sekolah, menguruskan barang-barang keperluan rumah, membantu ayahku menguruskan lembu-lembunya, hantar dan ambik adik daripada sekolah, tuisyen dan ke Chiku untuk bersama-sama menguruskan kebun kelapa sawitnya. Sejujurnya , aku berasa lebih matang dengan tempoh latihan selama 7 bulan yang culup bermakna ini. Walaupun budaya tidur petang lebih 2 jam tidak dapat diperbaiki..;)
Alhamdulillah, selain itu, sempat juga berbakti selama 6 minggu di SMK Kubang Kerian 1 sebagai guru ganti. Banyak juga pengalaman baru yang diperolehi apabila banyak perbezaan mengajar di SK dan SMK. Aku juga pernah berkhidmat bersama 2 pusat tuisyen iaitu Dinamis dan Al Amin. Pengalaman ke sana ke sini dengan motor kesayangan DBL 9681 mencari seringgit dua dan pekerjaan akan sentiasa tersemat dalam hati . Teringat pengalaman mencari pekerjaan di Jakel dan kantin sekolah.=)
Kini, 4 Ogos 2013. Sudah lebih sebulan aku meninggalkan kampung halaman kerana sudah diberikan penempatan di sekolah sebagai seorang guru pada 1 Julai 2013. Betul, yakinlah bahawa Allah itu sangat adil. Aku ditempatkan oleh KPM di SK Nanga Meluan, Kapit, Sarawak.Bukan ingin berlebihan menunjukkan kesusahan tetapi ia sememangnya suatu sekolah yang boleh dikatakan sangat jauh di pedalaman Kapit yang terdiri daripada 12 orang guru dan hanya 27 orang murid. Berkhidmat sebagai guru baru dan dibebankan dengan banyak tugas seperti S/U Peperiksaan, Guru SPBT, Ketua Panitia Math, Ketua Panitia Seni, Ketua Guru Penasihat Persatuan Matematik, Ketua Penasihat Pengakap dan guru kelas Tahun 5 membuatkan kekadang aku terfikir adakah fasa pembulian guru baru sudah bermula?!Namun, setelah sebulan berada di sekolah ini, ternyata ia bukan sebegitu. InsyaAllah, biarpun pada kali ini tiada lagi ibu dan ayahku yang sentiasa memberi sokongan daripada belakang, aku sudah mampu menghadapinya hasil latihan yang dilalui selama 7 bulan di rumah=)
Doakan saya terus gembira , dapat mengajar dengan baik dan menimba sebanyak mana ilmu pun di sekolah ini. =) Terima Kasih, Terima Kasih dan Terima Kasih untuk kedua ibu dan ayahku yang membuatkan tempoh menunggu posting ini adalah suatu tempoh yang cukup bermakna dalam proses memasuki alam pekerjaan yang sebenar. =)
Saturday, July 27, 2013
Cikgu Juga Akhirnya....
Penyesuaian diri, cabaran dan keperitan?Ya, banyak yang ingin kongsikan bersama hamba Allah yang terbuka dan terbaca blog saya yang sungguh tidak aktif ini. Namun, ini baru di peringkat permulaan aku disahkan dalam penjawat awam ini. Harapnya dipermudahkan Allah dan tidak sewenang-wenangnya terlepas kelas kerana kita dibayar dengan gaji setiap minit kita diamanahkan untuk berada dalam kelas.
Doakan Cikgu Taqiyuddin tenang dan gembira di SK Nanga Meluan , KApit ini...P3 katakan..Huh, tapi yakinlah dengan suatu bisikan kasih daripada Sang Pencipta apabila hamba2 Allah bertanya di manakah Aku, katakanlah kepada mereka aku tersangat dekat, itu pesan Allah...=)
Sunday, January 13, 2013
Himpunan Kebangkitan Rakyat
Saturday, December 15, 2012
Lorong sedang dibentuk
Hari ini, Allah terus mengurniakan rezeki kepada keluargaku khususnya si adik, Muhammmad Azamuddin bin Ahmad Fikri. Setelah dikurniakan pencapaian yang baik olehNya dalam UPSR yang lalu membolehkan Azam untuk 'apply' Maahad Tahfiz Sains dan MRSM versi Ulul Albab + IGSOE. Setelah melalui 3 sesi temuduga iaitu 3/12, 8/12 di Maahad Tahfiz Sains Nur Aman, Kok Lanas dan 11/12 yang lalu di MRSM Kota Putra, hari ini keputusannya telah keluar di mana Azam ditawarkan ke Maahad Tahfiz Sains Bustanul Arifin, Berangan, Tumpat.
| ALHAMDULILLAH |
Dalam perancangan, ayah dan ibuku mempunyai harapan yang tinggi untuk Azam di mana untuk memastikannya berada di laluan yang terbaik dalam menjadikannya seorang hafiz Quran dan arif dalam ilmu keagamaan tanpa mengetepikan sedikitpun soal akademik. Biarpun terlalu awal untuk memperkatakannya, sebagai seorang abang, sokongan dan doa supaya harapan itu menjadi suatu realiti sentiasa dipanjatkan yang bakal menjadi suatu pasak yang utuh kepadanya dan kami sekeluarga dalam zaman yang begitu membimbangkan ini ...=)
Teringat kata-kata ayahku meletakkan nama Azamuddin bersemperna Al-Fadhil Ustaz Taib Azamudin , seorang bekas Imam Masjid Negara suatu ketika dahulu.
sabda Rasulullah S.a.w: “Orang yang paling baik itu ialah orang yang alim. Jika ia diperlukan maka ia akan memberi manfaat kepada orang lain. Dan jikalau ia tidak diperlukan maka ia mencukupkan dirinya sendiri (tidak menyusahkan orang lain)”.
Tuesday, October 16, 2012
Kurang sebulan
Dan diriku ini semakin berjalan mendekati garis penamat itu,
Biarpun hanya kalimah kesyukuran dalam diri ini,
namun ada sekelumit kegusaran yang kian membesar
iaitu .........untuk menghadapi sebuah perpisahan..apapun, terima kasih
untukMu kerana memberikanku peluang merasai kemanisan kenangan
tersebut...=)
Wednesday, August 22, 2012
Syahid untuk beliau..kita?
Ikuti kisah ataupun nasihat yang begitu mengharukan daripada seorang ulama' sebelum gugur syahid di medan jihad di Syria.
Syeikh Mustafa Al-Majzoub merupakan seorang ulama' yang begitu terkenal di Australia. Beliau sebelum ini banyak membicarakan berkenaan jihad yang berlaku di Syria dan menyatakan sokongan penuh beliau kepada mujahidin Syria.
Dan menurut sumber, syeikh telah gugur syahid semalam (20/8/2012) di Kota Salma akibat serangan roket ketika memimpin operasi ketenteraan bersama para mujahidin yang lain.
Antara beberapa nasihat yang mengharukan daripada beliau sebelum gugur syahid :
" Salah satu pengajaran penting yang saya pelajari di mana saya berada sekarang (Syria) adalah jangan pernah menilai seseorang daripada hebatnya badan ataupun lebarnya saiz badannya. Tetapi nilai lah seseorang di saat ditimpa musibah dan ketika di medan jihad.
Subhanallah, saya berjumpa dengan saudara-saudara saya (mujahidin) disini yang begitu pemurah dan sangat memuliakan tetamu. Mereka sangat sejuk mata memandang dan memperlakukan kami dengan baik sekali.
Namun mereka di medan tempur ibarat singa-singa meraung yang begitu tegas dan hebat. Ketangkasan mereka menyebabkan musuh-musuh menjadi gerun dan takut. Merekalah sepertimana sifat para sahabat nabi yang diceritakan di dalam al-Quran.
Mereka berkasih sayang di antara muslim satu sama lainnya manakala tegas dan keras terhadap musuh-musuh yang memerangi agamanya.
Firman Allah :
"Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka." (Al-Fath: 29)
Syeikh Al Majzoub syahid (insya-Allah) dalam usia muda, meninggalkan isteri dan keluarganya. Meninggalkan segala kenikmatan dunia yang sementara ini demi sebuah cita-cita yang begitu mulia iaitu mati sebagai syuhada'.
Semoga Allah menerima segala amalannya dan merahmatinya. Al-Fatihah
Monday, August 20, 2012
Salam Aidilfitri
Tuesday, July 3, 2012
Di situ ada kekuatan

Wawancara bersama isteri Dr Mohamed Mursi sebelum pemilihan Presiden.
Semakin besar harapan Dr. Mohamed Mursi untuk meraih kemenangan dalam pilihanraya presiden pertama secara bebas di Mesir, semakin ramai orang yang berminat untuk mengetahui tentang isteri beliau di mana beliau dalam sebuah wawancara di salah sebuah stesen televisyen menyebut bahwa isterinya banyak memberi pengaruh terhadap prestasi besar yang diraih dalam kehidupannya dan sangat berperanan baginya untuk mewujudkan berbagai kejayaan sehingga mendapatkan sokongan rakyat bagi dicalonkan untuk menjadi presiden Mesir.
Nama isteri beliau adalah Najla Mahmud. Dilahirkan pada tahun 1962 di desa Ain Syams, timur Kaherah. Setelah berkahwin, dia ikut suaminya tinggal di Amerika Syarikat ketika suaminya hendak menyelesaikan program doktor falsafahnya di sana. Kini keduanya menetap di Kaherah.
Berikut adalah wawancaranya dengan media Ikhwanonline.net
S: Dr. Mursi menyatakan dalam beberapa kali wawancara bahwa anda adalah penasihat
J :Tentu sahaja, sebelumnya tidak ada di antara kami yang terfikir akan isu pencalonan presiden beliau, apalagi Jamaah Ikhwanul Muslimin dan Parti Kebebasan dan Keadilan pada mulanya menetapkan untuk tidak menaikkan sesiapapun dari mereka untuk dicalonkan sebagai presiden.
Namun keputusan berubah apabila parti dan jamaah telah mengangkat Khairat Syatir untuk maju dalam pemilihan presiden.
Kami sudah cukup gembira ketika itu, Allah telah membebaskan kami dari tanggungjawab berat tersebut sambil kami tetap akan mengerahkan segala potensi dan kekuatan untuk menjayakan program tersebut, tetapi dalam kedudukan sebagai 'perajurit' bukan kerana ingin ke depan.
Namun oleh kerana jamaah dan parti bekerja berdasarkan sistem dan mereka meramalkan akan berlaku permainan dan muslihat politik, maka perkara tersebut menjadi alasan untuk mengetengahkan suami saya Dr. Muhammad Mursi untuk menunaikan tugas dan projek ini jika ternyata Ir. Khairat benar-benar dilarang.
Ketika penolakan terhadap Syatir benar-benar berlaku, perkara tersebut semakin menguatkan bahwa kita bekerja bukan kerana jawatan, tetapi berjuang kerana Allah Ta'ala. Buktinya Syatir menerima keputusan penolakan terhadap dirinya dan berjuang bersungguh-sungguh untuk berkempen bagi pihak Dr. Mursi.
S :Apakah anda merasa tersinggung dengan julukan sebahagian orang yang mengatakan bahwa Dr. Mursi adalah 'Tayar Ganti'?
J :Sama sekali tidak, kerana pemilihan tersebut bukan menunjukkan urutan keutamaan. Ertinya bahwa keduanya adalah layak, sedangkan pengganti tidak semestinya lebih lemah. Istilah 'tayar ganti' adalah bahasa media, sedangkan jamaah tidak memilihnya untuk menjadi 'tayar ganti', akan tetapi untuk menghadapi muslihat dan permainan politik.
S :Bagaimana keluarga menghadapi keputusan jamaah yang menetapkan Dr. Mursi sebagai calon presiden?
Meskipun tabiat manusia pada umumnya tidak menyukai ujian, tetapi kami menyambutnya dengan cinta, ridha dan qanaah.
Kami semuanya sepakat dengan keputusan jamaah tetapi pada awalnya, ketika mereka mengajukan tawaran pencalonan presiden terhadap Dr. Mursi bersama Ir. Khairat Syatir, kami berdua merasa sangat khuatir akan mengalami berbagai perancangan jahat maka saya katakan kepadanya, "Mengapa engkau menerima perkara tersebut berlaku pada Ir. Khairat Syatir sedangkan engkau tidak bersedia menerimanya pada dirimu?"
Hal ini bukan bererti kami tidak boleh risau, bagaimanapun kami sebagai manusia apalagi keputusan diambil dalam waktu yang sangat singkat. Kesimpulannya, kami akan sokong setiap calon dari Ikhwan, apakah dia Dr. Mursi atau Syatir atau lainnya, dengan segenap kemampuan yang kami miliki, samada berupa ucapan mahupun gerakan hingga ke akhirnya.
S :Apakah anda tidak khuatir akibat yang perlu anda bayar beserta keluarga dari pencalonan ini?
J :Kami sudah benar-benar sedari apakah risiko yang akan kami tanggung, tetapi semua itu menjadi ringan jika dibandingkan dengan apa yang akan kami berikan kerana Allah dan umat ini.
Demikianlah kami belajar dari Jamaah Ikhwan, bahwa kemaslahatan umat didahulukan dari kemaslahatan peribadi. Oleh yang demikian, kami bersedia menanggung berbagai risiko dengan kurnia Allah, 'Siapa yang berjuang kerana Allah, akan diberikan keteguhan saat menghadapi ujian.'
S :Apa yang anda ketahui tentang karakteristik seorang ketua negara yang terdapat pada Dr. Mursi?
J :Dr. Muhammad adalah seorang ahli politik yang matang. Walaupun dalam kesibukannya, beliau sentiasa memberi perhatian terhadap berbagai perkembangan dan masukan serta analisa yang beraneka ragam. Dari hari ke hari saya melihat sifat-sifat kenegarawanannya semakin tumbuh untuk memikul jawatan sebagai Ketua Negara.
Ditambah pula dengan bakat kepimpinan dan pentadbiran dengan semangat tinggi serta kesetiaan yang besar terhadap negara dan rakyatnya.
Itu semua diraih berkat kesungguhan dan kemahuan kuat untuk meraih prestasi demi prestasi seraya memohon pertolongan kepada Allah, sabar menghadapi ujian dan pengendalian diri ketika mengalami peristiwa besar dan merenung untuk mendapatkan penyelesaian terbaik agar dapat keluar dari berbagai krisis dalam keadaan terbaik.
S :Dr. Mursi sering menyatakan bahwa anda merupakan prestasi terbesar yang diraihnya dalam hidup. Bagaimana komentar anda?
J :Ini semua merupakan kurniaan dari Allah terhadap keluarga kami yang diberikan nikmat berupa taufiq, cinta dan kasih sayang. Dr. Muhammad sebagaimana orang Mesir katakan adalah 'orang hebat, anak dari orang-orang hebat'.
Dia selalu mengenang perjuangan saya ketika saya mengikutinya ke Amerika setahun setengah setelah perkahwinan kami di Mesir. Ketika itu dia sedang menyelesaikan program PHDnya.
Ketika itu saya mengerahkan segenap kemampuan untuk membantunya dalam menyelesaikan tugas dan meraih prestasi terbaik. Meskipun misi tersebut sangat berat, kami tetap rajin berdakwah sebelum akhirnya kami meninggalkan berbagai tawaran Amerika yang menggiurkan untuk kemudian kami pulang ke negara kami agar dapat mempersembahkan segenap kesungguhan kepada negara kami.
Inilah yang kami utamakan. Di sini kami melalui kehidupan yang sangat berat, berupa ugutan rejim lama, kezaliman, penahanan serta berbagai ancaman lain. Namun, Allah telah memberikan kami kurniaan kesabaran, keteguhan dan kejayaan atas kemurahan dan kurniaNya.
S :Pelajaran apa yang diperolehi oleh keluarga Mursi dari pengalaman pilihanraya sebelumnya?
J :Pada pilihanraya tahun 1995 yang diselenggarakan tanpa kehadiran pengawasan dari mahkamah serta kemungkinan berlakunya berbagai penipuan, kami dapat belajar dari Dr. Mursi bahwa seseorang perlu mengerahkan segala usahanya terlebih dahulu, sedangkan hasilnya ada di sisi Allah.
Sedangkan jamaah memiliki matlamat yang sangat banyak yang ingin diwujudkan bagi umat ini. Di antaranya adalah keberadaan mereka di kerusi parlimen. Oleh kerana itu, jamaah mendorong setiap anggotanya agar mendampingi rakyat dan sentiasa berkomunikasi dengan mereka.
Yang kedua kami belajar darinya bagaimana menghormati keputusan jamaah. Ketika jamaah memintanya untuk diajukan sebagai calon pada pilihanraya tahun 2000, beliau tetap menerimanya walaupun baru sembuh dari sakit ketika itu. Beliau tidak pernah menolak permintaan Ikhwan. Ketika itu saya merasa berat, kerana saya tahu bahwa rejim lama tidak akan membiarkan keberadaannya di kerusi parlimen.
S :Banyak keluarga anggota parlimen yang mendapatkan kemudahan istimewa. Bagaimana keadaan keluarga Mursi ketika dia duduk di kerusi parlimen selama 5 tahun?
Selain berharap pahala dari Allah, tidak ada kemudahan yang kami dapatkan selain gangguan dan ancaman kerana dia merupakan tokoh dan anggota parlimen yang paling kehadapan. Anak saya, Ahmad, lebih dari sekali ditahan sebagai usaha ugutan terhadap bapanya agar tidak lagi mencalonkan diri pada pilihanraya berikutnya.
Begitu juga saudaranya, Usamah, sempat ditahan, dicolek pada malam hari oleh pihak unit khas dan mendapatkan perlakuan yang kasar, ketika itu beliau sedang menuju ke masjid untuk menemui saudaranya. Ini ditambah pula dengan berbagai isu lain yang dikaitkan dan sering disebarluaskan. Di antaranya isu bahwa dia melantik anak perempuannya sebagai dekan, padahal dia sendiri dalam kumpulannya yang disingkirkan. Perlantikannya berlaku semata-mata kerana sebuah peristiwa.
S :Serangan media akhbar sangat keras terhadap calon dari Parti Kebebasan dan Keadilan. Apakah anda tidak khuatir? Sejauh mana pengaruhnya pada keluarga anda?
Allah Azza wa Jalla sentiasa menggagalkan setiap usaha yang dikerahkan untuk mencari aib seseorang. Media di sini memang terkenal zalim dan telah hilang kredibilitinya, mereka sering memihak dan mencipta isu-isu. Hingga kini saya belum dapat mengembalikan kepercayaan terhadap akhbar Mesir kerana seringkali mereka menyebar berita bohong tentang keluarga kami.
Meskipun demikian, saya masih merasakan kemuliaan Islam dan semakin menambah keyakinan saya bahwa saya berada di jalan yang benar kerana saya benar-benar yakin terhadap program Ikhwanul Muslimin. Bagi mereka yang mengamati sirah dengan baik, akan mengetahui bahwa beginilah sunnatullah, bahkan para rasulpun menghadapi berbagai ujian. Dan hal ini akan semakin menambah kekuatan bagi kami.
S :Tersebar isu bahwa Dr. Mursi melarang anda untuk meneruskan kuliah. Apakah perkara itu benar?
J :Saya pergi ke Amerika setelah saya menyelesaikan pendidikan menengah atas. Di sana saya belajar bahasa Inggeris secara khusus. Setelah itu saya bekerja tanpa gaji sebagai penterjemah secara langsung bagi para wanita muallaf Amerika dalam pengajian mereka di Bait Thalib Muslim di Los Angeles.
Pada mulanya setelah kembali dari Amerika saya berniat untuk meneruskan kuliah, tapi akhirnya saya lebih memilih untuk sepenuh masa dalam mendidik anak-anak saya. Akhirnya saya dan anak-anak dapat menyelesaikan hafalan Al-Qur’an. Saya memberikan mereka pelajaran hingga sekolah menengah atas. Dari sinilah saya mulai melakukan aktiviti dakwah bersama jamaah Ikhwan. Itulah pekerjaan saya.
Adapun Dr. Muhammad, tidak pernah melarang saya untuk meneruskan pelajaran dan tidak melakukan campur tangan dalam masalah ini. Justeru sebaliknya, apabila saya memintanya untuk memperkukuhkan kembali kemampuan bahasa Inggeris saya, dia memberi memotivasi kepada saya.
S :Mendapatkan kewarganegaraan Amerika adalah mimpi bagi orang yang bekerja dan tinggal di sana. Apakah anda pernah berusaha untuk mendapatkannya?
J :Sebagaimana yang diketahui bahwa undang-undang Amerika menetapkan bahwa sesiapa yang dilahirkan di negara Amerika akan mendapatkan kewarganegaraan Amerika. Inilah yang berlaku kepada kedua anak kami, Ahmad dan Syaima.
Adapun saya dan Doktor, sebenarnya mudah sekali bagi kami untuk mendapatkan kewarganegaraan tersebut, akan tetapi tidak selangkahpun yang kami tempuhi untuk itu. Saya cabar sesiapa sahaja yang dapat menghadirkan bukti bertulis yang menunjukkan bahwa kami adalah warganegara Amerika. Oleh kerana itulah kami dapat membantah orang-orang yang menuduh kami dalam masalah ini, kerana mereka tidak mendapatkan satu bukti pun.
S :Apakah anak-anak anda memanfaatkan kewarganegaraan Amerika mereka?
J :Kewarganegaraan anak-anak tidak kami gunakan sama sekali. Ketika Ahmad dipenjara, salah seorang aktivis kemanusiaan menasihatinya agar menghubungi kedutaan Amerika, mereka akan mengatur proses pembebasannya sekarang juga.
Maka dia terus menjawab, "Saya adalah warga Mesir, hidup di negara Mesir dan akan memilih Mesir."
Itu pula yang dijawab oleh Mursi, meskipun dia tidak mendengar ucapan Ahmad.
Dia berkata,
"Anak saya adalah warga Mesir, apa yang berlaku pada teman-temannya, berlaku pula padanya. Saya tidak akan minta tolong dengan institusi di luar Mesir untuk campur tangan dalam urusan dalaman negara Mesir walaupun mereka bertindak zalim kepada kami."
S :Mengapa Dr. Mursi memutuskan untuk menamatkan urusan pelajarannya di Amerika Syarikat dan kembali ke Mesir?
J :Ketika Doktor menyelesaikan masa kuliahnya di sana, yang selalu terbayang dalam fikirannya adalah bagaimana memberikan manfaat kepada masyarakatnya dari ilmu yang dia raih, apalagi dia menghendaki untuk kembali ketika anak-anaknya masih dalam masa pertumbuhan agar mereka terdidik di sana.
Ketika kami kembali, Ahmad masih berusia 4 setengah tahun sedangkan Syaima berusia 2 setengah tahun. Setelah itu kami tidak pernah mengunjungi Amerika lagi. Kami tinggalkan Universiti Amerika yang menawarkan berbagai macam tawaran. Lalu beliau kembali ke Universiti Zagazig yang ketika itu masih dalam peringkat permulaan.
S :Apakah anda tidak menolak keputusan tersebut?
J :Pada mulanya saya menentangnya, khususnya anak-anak ketika itu masih dalam usia yang tidak perlu dikhuatirkan. Apalagi saya tahu bahwa Doktor ketika itu sangat menyukai pelajaran dan melakukan kajian di mana segala kemudahan tersedia di Amerika. Namun ketika itu dia menjawab bahwa dia ingin agar permulaan pertumbuhan anak-anaknya seperti anak-anak di negaranya.
S :Bagaimana menurut anda peranan isteri bagi seorang Presiden setelah revolusi?
J :Saya ingin tetap berada di tengah-tengah masyarakat, hidup seperti mereka hidup dan mendengarkan keluh kesah mereka sepertimana perkataan Sayyidina Umar, "Seandainya ada seekor keledai tersesat di Irak, niscaya saya akan ditanya oleh Allah."
Bagaimana halnya dengan manusia yang tidak mendapatkan segelas air bersih atau tidak mempunyai pembiayaan untuk berubat?!
Ada masyarakat yang masih hidup di bawah paras kemiskinan. Merekalah kelompok pertama yang akan menjadi perhatian saya dalam ruang lingkup sosial di luar institusi dan itulah yang selama ini saya ceburi dalam bidang sosial selama sekian tahun di sektor wanita dalam jamaah Ikhwan.
S :Bagaimana dengan kegiatan dakwah anda?
J :Saya akan tetap berdakwah dan tidak mungkin saya tinggalkan kerana inilah hidup saya selama 30 tahun.
S :Apakah anda pernah mengimpikan menjadi wanita nombor satu di Mesir? Bagaimana perasaan anda sekarang?
J :Julukan itu saya tolak sama sekali. Julukan itu berlaku untuk Jihan Sadat dan Suzan Mubarak di mana kedua-duanya ikut campur tangan dalam segala urusan samada politik atau ekonomi.
Islam mengajarkan bahwa Presiden Mesir berikutnya adalah pelayan Mesir nombor satu, maka itu ertinya bahwa isterinya juga adalah merupakan pelayan wanita Mesir nombor satu.
S :Setelah sekian tahun hidup dalam kezaliman yang dialami oleh keluarga Dr. Mursi, apa yang anda rasakan ketika menyaksikan kejatuhan diktator Mubarak?
J :Ketika itu saya ingat firman Allah Ta'ala,
"Katakanlah, Ya Allah pemilik segala kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari siapa yang Engkau kehendaki." (QS Ali Imran : 26)
Darinya kami mengambil pelajaran bahwa kekuasaan tidak akan berterusan pada seseorang. Dan kekuasaan, jika Allah kehendaki berakhir, maka Dia akan mencabutnya, setelah Dia memberinya dengan mudah, disamping hal itu merupakan kehendak rakyat yang telah dizalimi selama masa kekuasaan diktator, agar hati mereka senang. Khususnya Khairat Syatir dan Hasan Malik yang terlambat dibebaskan.
Ketika saya melihat pemimpin yang digulingkan itu berada di atas katilnya di ruang tertuduh, dengan berbagai usaha peguam untuk menyembunyikannya dari pandangan, saya ingat bagaimana Khairat Syatir dahulu ketika di sidang perbicaraan dengan kepala tegak. Semua itu memberikan keyakinan pada saya bahwa pertolongan Allah itu pasti datang.
S :Bila anda akan mengatakan kepada Dr. Muhamad Mursi, 'Cukup sudah kerja anda sampai di sini?"
J :Saya tidak akan mengatakan kepada doktor, 'Cukuplah kerja anda sampai di sini' kerana Islam mengajarkan kepada kami untuk sentiasa beramal hingga akhir kesempatan. Ini disebabkan kami beramal kerana Allah. Saya tidak dapat melihat Dr. Mursi tidak beramal. Apabila itu berlaku, justeru saya merasa ada yang aneh padanya.
S :Sebagai penutup, apa yang ingin anda katakan kepada suami anda?
Semoga Allah menolongmu memikul tanggungjawab ini dan memberimu keteguhan dan keridhaan serta menjadikan kami sebagai penolongmu di jalan tersebut.
Ya Allah, tetapkanlah kaki kami di jalan dakwahMu dan berikanlah kami sifat istiqamah beramal untuk melaksanakan segala tuntutan dan perintahMu. Kurniakanlah kemenangan kepada golongan mukminin yang sebenar sehingga syariatMu akan tertegak semula di bumi Mesir dan di bumi-bumi lain di seluruh dunia sehingga kalimahMu tegak berdiri dan memayungi setiap insan di dunia bagi merealisasikan “Rahmatan Lil Alameen”.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
dipetik dari :
http://tinta-perjalananku.blogspot.com/2012/05/wawancara-isteri-bakal-presiden.html
Monday, July 2, 2012
Teguran Untuk Kebaikan
Alhamdulillah, tarikh memasuki 3 Julai 2012 bersamaan 11 Sya’ban dan berada di sekolah untuk menyelesaikan internship di SK Cochrane. Keadaan murid yang gumbira dan curia membuatkan terkadang fikiran tetiba melayang ke zaman kanak-kanak di SK Sri Kemudi dan SMK Bachok. Semoga Allah mempermudahkan dan memberikan kekuatan semaksima mungkin untukku menyelesaikan tesis semester akhir sebelum melangkah ke dunia perguruan sebenar.
Namun, di sebalik kekalutan itu, hari ini hati tersentak! kenapa? hati berfikir kelakuan seharusnya lebih matang apabila umur sudah mencecah 23 tahun. Kecelaruan ketidakmatangan pada diri terus menyelubungi diri hari ini dek teguran daripada seorang sahabat . Kesilapan kerana ketidakmatangan kita lakukan dari hari ke hari. Memang, kita dituntut meminta maaf sekiranya kita melakukan kesilapan dan kesalahan pada orang di sekeliling kita. Namun, persoalan yang timbul, adakah cukup dengan permohonan maaf itu, segala perasaan sedih dan terguris orang yang kita permainkan itu akan terhapus begitu sahaja?Kalau itu yang menjadi tanggapanku, ternyata aku silap kerana manusia itu mempunyai hati dan kesan tercalarnya pada hati itu tidak akan terpadam dengan hanya satu perkataan iaitu MAAF. Apapun, izinkan diri memohon maaf di atas segala kesilapan dek ketidakmatangan yang aku lakukan....=)





