Pages

Thursday, June 14, 2012

Kehilangan

Abe Cik bawa harapan Mok untuk Abe Cik di Pondok Pasir Tumboh

Mok doakan juga kejayaan Abe Cik



Aidilfitri terakhir bersama Mok.



Kenangan di sungai belakang rumah Mok


Tiada apa yang boleh dikirimkan kepada melainkan bacaan ayat suci Al-quran(Ikram, Amir, Firas)



Tidur Ayoh pada malam (31 Mei 2012) sebelum Mok kembali ke rahmatullah.




Cucu Mok mengharapkan Mok sihat kembali, rupanya Allah lebih menyayangi Mok.
Lokasi CCU, HUSM.

Basikal dikayuh laju. Kadang-kadang dengusan dek kepenatan dilepaskan dengan kuat tanpa memperlahankan sedikitpun kayuhan tersebut. Jaraknya bukan dekat 6 km lebih setiap hari pergi dan balik tempat mengaji bersama dua orang abang Along dan Angoh di rumah guru mengajiku, Pok Long di Kg Tok Burong. Masing-masing dengan kelajuan sendiri. Barangkali ingin bertanding basikal siapakah yang lebih laju ataupun lebih ‘power’ yang dibeli oleh kedua ibu bapaku. Basikal Magma bewarna ungu yang dibeli sebagai hadiah mendapat tempat ke-3 dalam kelas. Ketika itu aku berada di Darjah 3.

Tiba sahaja di sebuah rumah kayu kuning sebelah kubor sebelum sampai di tempat aku mengaji Al-Quran, suaraku menjerit dengan cukup kuat, “Mok, kami pergi mengaji dahulu.” Terkejut orang tua itu yang sedang perlahan-lahan menyapu dan membersih daun-daun kering di depan rumahnya. Lantas dibalasnya “ Balik nanti singgah rumah Mok dulu ye’. Minum air.!Isuaranya agak kuat mungkin khuatir kami bertiga tidak singgah di rumahnya. Itulah Mok. Sambil mengayuh basikal, aku lihat ke belakang sambil tersenyum dalam hati berbisik, Mok baru bercakap sikit dan mengurut dada, cucunya ni mengayuh basikal jauh setiap hari , tak sampai tercungap macam tu. Padahal aku masih budak-budak, dia dah tua. Bagiku, semakin meningkat usia semakin kuat tenaganya. Itulah tanggapan kanak-kanak.

Sampai sahaja di tempat mengaji Al-Quran, itulah tempat yang paling aku geruni pada umur itu. Sakit perut tak tahu kenapa, gatal di segenap tempat di bahagian kepala. Dibacanya ayat-ayat Al-Quran berkali-kali untuk memastikan tidak tersalah bacaan terutamanya tanda baris ayat-ayat dalam Al-Quran sebelum menghadap mengaji dengan Pok Long. Saaaapppppss, Aduh! Sakit dan pedihnya kuat sekali. Sekali lagi terkena hayunan rotan di paha kananku. Sudah lali. Matanya Pok Long tepat menuju kemataku membuatkan diri ketakutan sehingga nak terkencing. Terdengar suara kawan-kawan mengajiku yang lain ketawa sambil menutup mulut. Laju tangan kiriku mengesap air mata yang sedikit mengalir di pipi.

Begitulah setiap hari. Marah membuak dalam diri dek sakitnya dirotan. Basikal dikayuh laju meninggalkan abang-abangku di belakang. Singgah di rumah Mok, aku dan abang-abangku pasti bercerita apa yang telah kami lalui kepada Mok untuk mendapat simpati Mok . Sambil tersenyum, Mok kebiasaannya akan menyediakan air sunquick dan roti berintikan kelapa. “Along, angoh, abe cik kena mengaji Quran dengan rajin la, jangan tinggal mengaji Quran, besar-besar nanti malu kat orang lain kalau tak tak pandai mengaji”. Setiap kali ungkapan itu dikeluarkan, hati terus hidup kembali. Segala kesakitan dirotan mulai hilang. Begitulah esok dan seterusnya. Ditarik kening sampai ke rehal, ditarik telinga, dirotan bertalu-talu, aku mula memahami kenapa hukuman itu diberikan. Mok akan memberikan pesanan yang sama, nanti dapat mengaji dengan baik, baru bagus. Diambilnya contoh imam tahfiz Masjid Muhammadi Bachok yang sudah boleh menjadi imam solat terawih biarpun baru berusia 12 tahun.Pesanan Mok aku simpan dalam hati. Aku terus mengaji dan cuba menguasai bacaan Al-Quran

“Abe Cik, malam ni Mok minta Abe Cik temankan dia, ayah balik ke Pasir Mas”. Bagitahu mama kepadaku.Ayoh (datukku) akan balik ke Pasir Mas di rumahnya yang satu lagi. Hati melonjak gembira. Malam ni aku berpeluang tidur rumah Mok sekali lagi. Terus aku dihantar oleh papa dan mama ke rumah Mok. Sudah tersedia selimut yang tebal, bantal dan tempat tidurku. Ubat nyamuk elektrik telah sedia dipasang katanya takut Abe Cik digigit nyamuk. Pada masa yang sama, hati terfikir di tempatku dipasangnya ubat nyamuk elektrik, di tempat tidurnya diletakkan ubat nyamuk lingkar. Mungkin dia tahu aku akan tersepak ubat nyamuk lingkar tanpa memikirkan itulah pengorbanan dan kasihnya Mok kepada cucunya. “Kalau takut nak bangun kencing, kejutkan Mok deh”. Pesan Mok sebelum aku melelapkan mata. Mok sangat mengerti keperibadianku yang agak penakut sebenarnya. Jam samar-samar kelihatan pukul 4 pagi di dinding. Sejuknya memang tak terkata. Hajat nak ke tandas juga sangat memuncak . Lantas aku bangun dan suara yang kuat mengejutkan Mok nak ke tandas. Kekalutannya mencari lampu suluh membuatkan aku mendesaknya dengan lebih kuat “Cepatlah Mok!! Abe Cik nak kencing sangat dah ni”Langkahnya dilajukan walaupun terpaksa berpegang pada dinding dan tiang tangga dek kekebasan kaki yang terlampau mungkin. Diambilku lampu di tangan Mok, dan terus masuk ke tandas. Kembali ke tempat tidur dan aku terasa sehelai selimut lagi diletakkan di atas badanku . Rupanya Mok meletakkan selimut itu dek khuatir aku terlalu sejuk dan menutup suis kipas. Kedengaran air paip dibuka dan sekejap kemudian suara Mok mengaji Quran. Dalam fikiranku, alangkah bagusnya kalau aku boleh membaca Al-Quran seperti Mok. Lancar dan agak merdu alunanya.

Usia meningkat dan masuk sekolah menengah, aku beberapa kali diminta oleh Mok untuk tidur di rumahnya kerana Mok takut untuk tidur keseorangan di rumah tersebut. Deringan telefon rumahku berbunyi. Mok menelefon.“Assalamualakum,malam ni Abe Cik tidur rumah Mok deh”. Ringkas. Tapi aku sudah faham maksudnya datukku telah pulang ke Pasir Mas.Jadi, Mok takut untuk tidur keseorangan. Hati gembira tapi faktor kegembiraan mulai berubah kerana aku boleh keluar minum air di kedai-kedai makan sehingga lewat malam tanpa pengetahuan papa dan mama. Selepas solat isya’ aku terus ke rumahnya dan menonton televisyen bersama Mok. Kebiasaannya Gerak Khas dan cerita-cerita Melayu yang lain. Mungkin disebabkan Mok jugalah sehingga sekarang aku tidak meminati drama lain selain daripada drama Melayu. Jam menunjukkan pukul 10 malam. Mok, Abe Cik keluar minum air dengan kawan jap, maklumku kepada nenekku itu. Errrr, errr, tak bahaya ke Abe Cik keluar malam-malam ni?Serba salah pertanyaannya mungkin kerana khuatir menganggu perancanganku bersama kawan-kawan. Sambil mengambil kunci motor aku membalas, Kejap je. Kejap lagi Abe Cik balik semula. Laju aku menunggang motor ke kedai We Pa berdekatan Pantai Irama. Terus bersembang dan berbual bersama rakan-rakanku. Ketawa terbahak-bahak apabila ada cerita dan pengalaman yang sungguh melucukan diceritakan semula. Tanpa disedari jam sudah mencecah 12.15 malam. Hanphone di dalam poketku berdering rupanya panggilan daripada mama yang memaklumkan Mok ketakutan dan tidak boleh tidur selagi aku tidak pulang ke rumahnya. Rupanya Mok telah menghubungi Mama memaklumkan aku belum pulang selepas keluar jam 10 malam tadi. Laju aku memecut ke rumah Mok kerana tahu dia tidak boleh keseorangan dalam keadaan tersenyum kerana kedengaran sayup-sayup ejekan kawan-kawanku, ‘Anak Mama dah kena balik woiii...”teriak kawan-kawan yang ada pada malam tersebut.

Teringat kembali sewaktu aku berada di Tingkatan 3, aku berjalan pulang ke rumah dalam keadaan sendi dan belakang terasa kebas dan sangat sakit. Kesan melecek jelas di paha dan belakangku.Aku dipukul keseorangan secara beramai-ramai dalam suatu pergaduhan di sekolahku. Dendam membuak ! Dinding rumahku ditumbuk berkali-kali dek ketidakpuasan hati terhadap geng samseng sekolah itu.Misi ‘membalas dendam’ aku susun rapi. Aku tidak memaklumkan kepada mama mahupun papa untuk memastikan misi tersebut dapat dijalankan tanpa sebarang sekatan. Sampai di sekolah pada keesokan harinya, misi dapat dilaksanakan sebaik mungkin dibantu rakan-rakanku yang lain. Kaki dihayun sekuat mungkin, tangan ditujukan tepat ke muka, ditumbuk dan diterajangnya berkali-kali sehingga longlai pelajar tersebut. Marah membuak menguasai diri dan aku pulang ke rumah dengan penuh rasa puas hati.Kebanggan menyelubungi diri seolah-olah hari ini akulah yang paling hebat di sekolah itu. Sampai di tangga rumah, Mama dan Mok ada di depan rumahku. Mereka berdua telah sedia mengetahui. Mok memegang bahuku lantas bertanya dalam suara memujuk, “Abe Cik sakit kat mana? Nanti Mok sapukan ubat.Abe Cik jangan buat macam ni lagi lain kali deh’.Terburai rasa panas badan dek kemarahanku. Fikirannku kembali ditarik ke dunia sebenar. Ketika itu aku merasakan bahawa sama ada aku betul ataupun tidak dalam tindakanku di sekolah tadi, aku tetap berada di pihak yang salah. Keegoaan menguasai diri sehingga aku bertindak di luar pemikiran waras tanpa memikirkan air muka papa, mama, serta adik beradik yang lain yang tidak pernah melakukan masalah seperti itu sebelum ini. Aku juga malu pada Mok.......

Semakin hari Mok semakin tua. Mata memerhatikan dan hati menyedari. Aku pula semakin meningkat dewasa dan mula melanjutkan pelajaran ke Kuala Lumpur dalam bidang perguruan. Setelah berbulan di sana,tiba sahaja musim cuti, waktu aku menziarahi Mok kebiasaanya adalah selepas solat Suboh di Masjid Bachok.Mok memang bangun awal pagi dan kelihatan raut wajahnya jelas gembira apabila aku tiba di muka pintu dapur rumahnya. Disediakan teh susu panas yang cukup istimewa membuatkan aku merasakan kelainan dalam teh yang dibancuhnya. Aku berbual dengan Ayoh sambil diperhatikannya. Kerap kali Ayoh meninggikan suara dan memarahi Mok(secara bergurau) kerana telinga Mok semakin kurang pendengarannya. Aku tersenyum sendirian.

Mok kian lama kian lemah dan disahkan sakit pada tahun 2010 . Semenjak itu, mama membuat keputusan tidak membenarkan Mok tinggal di rumahnya sendirian kerana khuatir kesihatan dan keselamatannya. Kalau tidak di rumahku di rumah anak-anaknya yang lain Ayah Din, Ayah Ran, Paksu Za. Kesemuanya tidak jauh daripada rumahnya. Darah Mak terlalu cair dan denyutan jantungnya kekadang sangat lemah. Temujanji dengan doktor semakin bertambah dan diuruskan secara rapi oleh mama dan bapa saudaraku yang lain. Aku juga beberapa kali diminta untuk menghantar Mok untuk sesi temujanji dengan doktor.

‘Mok, papa ajak makan nasi sekali’, perlahan aku menolak pintu sambil mengajak Mok untuk makan bersama. Kebiasaan Mok akan berada di sejadah selepas solat Magrib berzikir dan membaca Al-Quran menunggu masuknya waktu Isya’. “ Makanlah dulu, nanti Mok makan lepas solat Isya’. Begitulah rutin jawapannya setiap malam. kekadang nampak kesihatan Mok bertambah baik tetapi aku dapat memerhatikan selera makan Mok menurun secara jelas. Tenaganya pula sangat lemah sehinggakan Mok berbaring sahaja sepanjang hari.

Aku pulang ke rumah untuk cuti panjang hujung tahun 2011. “Betul ke Abe Cik nak masuk pondok?” tetiba soalan itu keluar daripada mulut Mok ketika aku membaca surat khabar di beranda rumahku.Setahuku aku tidak memberitahu sesiapa kecuali kepada papa dan mama sahaja. “Ya ,Mok,” jawabku ringkas.Pondok dekat mana? Tanyanya lagi. “Pasir Tumboh”, balasku semula. “Molek sangat la tu, Abe Cik kena banyak belajar benda-benda agama ni, nanti boleh jadi tok imam dah la”, Mok memberikan nasihat dan terasa begitu mendalam harapannya itu membuat semangatku untuk belajar memuncak selain daripada sokongan daripada papa dan mama. Aku berlalu meninggalkan Mok di atas buaian di beranda rumahku untuk menjawab panggilan handphone. Mok dimasukkan ka Hospital Kubang Kerian dan aku meneruskan hajatku untuk ke Pondok Pasir Tumbuh selama dua minggu. Fikiran sering kali melayang teringatkan Mok di hospital dan alhamdulillah selepas lima hari Mok dibenarkan keluar. Hakikatnya, Allah memberikan petanda awal.

Mama,mama,papa!! rumahku kosong.Hatiku mula khuatir. Jarang sekali mama tidak berada di rumah dan menyambutku sekiranya aku pulang. Assalamualaikum, cik, Mok lain sikit dan keadaan Mok lemah sangat,”itu perbualan telefon di antara ibuku dan aku petang jumaat ( 25 Mei 2012 ) yang lalu sehari sebelum aku bertolak pulang ke kampung. Hati gelisah, peluh memenuhi dahi, jantung berlari kencang, mahu sahaja aku membeli tiket bas dan terus pulang pada malam tersebut. Lantas aku menelefon mama dan mama memberitahu Mok telah dihantar ke USM dan dalam rawatan secara rapi kerana keadaan Mok yang begitu lemah. Mama berada dalam ambulan bersama Mok pada petang itu.

Malam itu, aku terus ke HUSM dan masuk tempat Mok dirawat dan kelihatan keadaan Mok agak luar biasa. Mok kerap kali dimasukkan ke wad, tapi kali ini situasi sangat menggusarkan. Mungkin aku tidak arif dalam bidang perubatan, tapi aku tahu keadaan Mok yang agak kritikal dek dibantu beberapa jenis mesin di sisinya dan wayar berselirat. Tanganku Mok pegang, “Abang Cik sampai bila, tak penat ke? Sambil tersenyum aku jawab, “Tak sangat Mok, Mok jangan bercakap banyak sangat, nanti Mok penat”.Terus Mok diam buat seketika, “Ma ada”?tanyanya lagi. Aku terdiam. Terus bapa saudaraku pergi memanggil ibuku di luar. Biarpun baru sahaja sebentar tadi mama meninggalkannya untuk mengisi perut makan malam.

Mok dimasukkan ke CCU pada 27 Mei 2.30 pagi. Ada sesuatu terbuku di hati. Dan itu bukanlah suatu petanda yang baik. Kening Mok jelas kelihatan jatuh dan itu merupakan tanda-tanda orang yang sudah dekat dengan kema............Nauzubillah. Aku tidak boleh membuat tanggapan sendiri. Setiap malam, tempat tidurku adalah hospital bersama Ayoh . Sehinggalah, pada petang Khamis, 31 Mei, suara tangisan teresak-esak daripada ibuku memberitahu melalui telefon denyutan jantung Mok sudah berhenti. Aku berada di rumah ketika itu. Allah sahaja yang Maha Mengetahui keadaan hati dan perasaanku ketika dan saat itu .Sebagai ikhtiar, keluargaku bersetuju untuk doktor memberikan satu renjatan dan alhamdulillah jantung Mok kembali berdenyut. Hatiku dihujani pelbagai soalan, dalam keadaan Mok yang kian pulih sepanjang 4 hari di sini, bagaimana denyutan jantung Mok boleh berhenti secara tiba-tiba?!Allah terus dengan keadilannya dan terus memberiakn petanda.

Sehingga tengah hari Jumaat 1 Jun 2012 ,perbincangan sesama keluarga bersetuju untuk membawa Mok pulang ke rumah kerana beberapa kali disebutnya dan itulah harapannya. Keputusan yang Allah sahaja yang mengetahui bertapa serba salahnya anak-anak Mok. Air mataku bercucuran sebelum melihat satu persatu wayar di badan Mok ditanggalkan. Aku diamanahkan untuk bersama Mok dan mama dalam ambulans untuk membawa Mok pulang ke rumah Mok. Kekhuatiran memuncak. Kata-kata doktor yang menyatakan kemungkinan apabila dikeluarkan daripada hospital CCU, Mok tidak dibantu dengan apa-apa mesin dan suntikan ubat lagi telah dihentikan. Namun, aku meyakinkan diri sendiri dengan keyakinan pada yang hak , Allah tidak mempercepatkan dan memperlambatkan tugas Izrail untuk mencabut doa walaupun sesaat.

Lampu kecemasan ambulans dipasang dan van mula bergerak.Kita nak pergi mana ni?”aku terkejut.suara Mok jelas kedengaran walaupun agak tersekat dengan bekalan oksigen. “Nak balik ke rumah Mok kat bachok” ,jawabku “ALHAMDULILLAH”!mok menjawab dengan nada yang jelas di pendengaranku. Aku mendekatkan mulutku ke telinga Mok , “Allah, Allah, Allah, Mok jangan lalai Mok,” aku meminta Mok ingat dalam hati dan cuba zahirkan di mulut. “Lailahaillahlah”, aku sekali lagi terkejut apabila Mok menjawab sedemikian. Suaranya jelas lebih jelas daripada awalnya. “Mok, andainya ada sesiapa yang datang kepada Mok, Mok jawablah Allah, Allah, Allah yang satu......”Mulut Mok terkumat kamit menyebut nama Allah. Henjutan van ambulan semakin laju menyebabkan kepalaku dan mama sangat pening. Namun, aku terus mendekatkan mulutku kepada telinga Mok. Suara Mok kian perlahan. Maafkan Abe Cik Mok. Abe Cik tidak arif untuk mengetahui tanda-tanda kematian seseorang sebagaimana ustaz-ustaz . Tanganku Mok lepas perlahan. Mata Mok yang tadi terbuka biasa kian ditutup rapat. Sepantas kilat aku memerhatikan muka Mok berubah menjadi sangat kuning dan pucat. Lebam darah di tangan Mok menghilang sepantas kilat. Dalam hatiku berbicara, “wahai Izrail, malaikat yang memutuskan hubungan di antara seseorang hamba dengan segala isi dan kehidupan dunia, seandainya inilah saatnya, saat sakaratul maut sudah tiba, lakukanlah tugasmu sebaik dan selembut mungkin untuk orang yang paling aku sayangi ini, biarpun aku sedia mengetahui Rasulullah sendiri pun ibarat terkena 99 kali hirisan mata pedang.”Suara tangisan terus kedengaran. Hanya jasad berada di atas rumah , roh Mok telah kembali menemui Sang Penguasa Langit dan Bumi. Azan Isya’ bersahutan ketika Mok meninggalkan kami.

Jasad akan dikebumikan pada pagi keesokannya. Pada pagi keesokannya, kelihatan seorang pak cik, laju langkah kakinya, yang mengikat tuala di kepalanya datang menuju ke tanah perkuboran. Mulut laju membaca sesuatu.Liang mula digali. Rumah Mok dipenuhi dengan saudara mara yang berkumpul . Setelah jenazah Mok dimandikan, jasad Mok diangkat ke tempat lain untuk dibaluti dengan kain kafan. Anak-anak dan cucu-cucu Mok diberi peluang untuk mengangkat jasad tersebut. Ketika jasad diangkat, mataku melihat air mata bergenang di mata anak-anak lelaki Mok. Liang telah tersedia, solat telah selesai, hampir-hampir sahaja aku terjun ke liang lahad untuk membantu memasukkan Mok ke tempat rehatnya namun, kelihatan sudah ramai orang lain yang bersedia melakukannya.

Aku pergi ke penjuru tanah perkuburan. Menahan sebaknya hati dan menahan air mata untuk keluar di saat melihat tanah menutup jasad Mok. Mok menyediakan minuman di kala kami haus pulang mengaji Quran, Mok menggosokku ketika aku terlibat dengan pergaduhan, Mok memberikan semangat ketika aku pergi belajar di pondok, segalanya terimbas dengan sendiri. Mok, kalaulah Abe Cik tahu Mok sudah nak pergi, Abe Cik akan jaga Mok baik-baik. Mok, kalau Mok nak tahu, Abe Cik sudah boleh membaca Al-Quran sebagaimana yang Mok nak masa Abe Cik kecil-kecil dulu. Mok, kalau Mok nak tahu, Abe Cik sudah boleh jadi imam dalam keluarga sendiri macam yang Mok inginkan biarpun tidak sehebat imam tahfiz .Mok, kalau Mok nak tahu, Abe Cik bukan seorang yang panas baran seperti dulu lagi. Mok, kalau Mok nak tahu, Abe Cik sudah masuk ke semester akhir pengajian berkat doa Mok. Mok, kalau Mok nak tahu, sebenarnya, hakikat dan kebenarannya, Abe Cik sangat merindui Mok biarpun baru seminggu Mok pergi meninggalkan Abe Cik.

Tanpa aku sedari bajuku basah dengan air mata. Namun, Allah itu adalah pencipta yang hak. Dia berhak menghidupkan dan mematikan. Tiada suatu bantahan pun yang boleh diberikan terhadap kehilangan ini. Allah menyusun sesuatu dengan begitu tersusun dan pemergian Mok dalam keadaan terbaik. Ya, Allah,ampunilah segala dosa-dosa Mok ketika Mok hidup. Jadikanlah alam barzakh sebagai tempat rehat yang selesa bagi Mok, sinarilah kubur Mok dengan Nur kekasihMu, Nabi Muhammad s.a.w dan luaskanlah kubur Mok seluas-luasnya dan jadikannya salah satu daripada jutaan taman-taman syurga. Mok, jaga diri baik-baik. Terima kasih untuk segala nasihat Mok. Abe Cik dan ahli keluarga yang lain pasti menyusul kemudian. Innalillah hi wainna ilaihiraji’un.



0 comments: